Rindu Terubat.........

Setelah tertangguh beberapa kali, akhirnya dapat juga kami semua balik kampung. Walaupun macam-macam yang berlaku, dengan anak demam, tayar pancit dalam perjalanan, hujan sepanjang jalan, R n R sesak macam cuti raya, tapi Alhamdulillah kami selamat sampai. Kami telah memutuskan untuk meneruskan niat walau apapun yang berlaku memandangkan telah beberapa kali menghampakan orang tua.

Aku ingat lagi ayat mak dalam telefon pada hari Khamis semasa kami sedang menikmati sarapan pagi dalam perjalanan ke UTM atas urusan rasmi. Rasa macam bersalah pula sebab asyik tangguhkan niat balik kampung.

" Assalamualaikum, mak ni, sibuk ka? Mak saja ja nak tanya, dengaq kata hangpa nak balik kampung, jadi ka?" mak memulakan bicara.

"InsyaAllah mak, plannya macam tu la"

"Alhamdulillah, takpa la mak nak tanya tu ja"

Mengingatkan perkataan Alhamdulillah dari mulut mak dengan nada yang tak dapat aku nak bayangkan betapa seronok dab puasnya dia dengan pengakuan aku menyebabkan aku rasa bersalah sangat. Rindu sangat mak dengan anak menantunya, cucu-cucunya mungkin.

Mak! Maafkan kami.

Balik dari JB aku dapati demam si Hani agak kuat. Dengan gatal-gatal lagi. Hubby pun baru sampai. Jam dah dekat 10.00 mlm. Alhamdulillah Timah cuti, kalau tidak kesian budak-budak kat nursery sampai malam. Timah pun sebenarnya nak balik dah pagi tu memandangkan esoknya dia mula bekerja semula, tapi aku minta dia tolong tunggu budak-budak dulu. Lagipun esoknya dia shift petang. Masih ada masa kalau bertolak pagi Jumaat tu. Terima Kasih adikku atas bantuanmu.

Lepas makan kami terus bergegas ke Klinik. Timah pun tak nak tunggu dah, ada hal katanya. Dia bertolak balik serentak dengan kami. Alhamdulillah di klinik tak perlu tunggu, sebab dah tak ada orang. Iya la, klinik pun dah nak tutup. Si Hani ni ada alahan. Tapi aku pun tak pasti dia alah kepada apa, tetapi kulitnya selalu gatal-gatal, tapak kaki dan tapak tangan pun bengkak dan nampak macam pecah darah. Waktu alahannya datang kesian pula aku tengok, asyik tergaru-garu, habis melecet badan dia. Paling kesian kalau naik kat muka.

Kami telah pun membawanya berjumpa paedratician tapi mengikut keputusan ujian darah dan air kencingnya tiada sebarang masalah. Cuma anak aku dikatakan kurang Vitamin. Memang aku akui Si Hani ni susah makan. Selalunya memang nak nasi kosong je. Tak nak lauk. Sayur jauh sekali. Aku pun dah mati akal nak pujuk dia makan.

Aktiviti di Kampung

Anak-anak telah dimaklumkan jadual di kampung. Bermalam di rumah Wan Husin semalam,, kemudian di rumah Wan Isa semalam. Itu la untungnya berkahwin dengan orang sekampung. Kami tak perlu memikirkan sangat. Kami boleh berulang alik lebih sepuluh kali pun antara kedua-dua rumah. Dulu masa tak ada anak itu la kerjanya. sekejap sana, sekejap sini, tapi bila ahli dah makin ramai aktiviti tu tak ada lagi. Banyak sangat barang nak di angkut.

Balik kampung kali ini sunyi saja rasanya. Sebab tak ada sapa yang balik. Baik rumah baba mahu pun rumah ayah. Agaknya itu la yang orang tua suka sangat kalau anak cucu balik. Ceria sikit rumah dengan riuh rendah cucu.

Memandangkan percutian yang singkat, masa yang terhad, aku hanya menghabiskan masa di rumah berborak dengan mak dan mak-mak saudara yang berdekatan. Hubby seperti biasa menemani Baba pergi kebun, pergi pekan beli barang keperluan terutama barang dapur untuk orang tua. Kat rumah baba anak-anak sibuk main-main dengan sepupu. Kat rumah ayah pula merata rumah diaorang masuk. Ibu / bapa saudara ramai yang melayan, begitu juga tok dan tokwan saudara. Sekala sekala cucu balik mesti la dapat perhatian.

Kesempatan yang ada juga kami ambil untuk ke Pasar membeli barang-barang keperluan yang memang biasa diimport dari Baling. Balik kampung sekejap sememangnya memenatkan. Sampai ke kampung tak terasa penatnya sebab kita memang teruja untuk balik kampung. Tapi nak balik semula ke rumah memang sesuatu yang amat memenatkan. Nak pula esok kerja. MasyaAllah Tuhan je yang tahu betapa bercintanya nak bersiap. Apa pun aku besyukur sekurang-kurangnya dapat bertemu orang tua, walaupun sekejap tetap berbaloi.

Apapun rindu orang tua terubat juga........Semoga kedua orang tua dan mertua dipanjangkan usia dan dikurniakan kesihatan yang berpanjangan. Semoga kami anak-anak menantu mereka dapat menabur bakti sepanjang hayat mereka. Amin.

Ayah dengan anak-anak
(susah sungguh nak ambil gambar mak)


Baba dan Mak - ibu bapa mertuaku

Indahnya hidup Bersyariat......


Buku ini aku beli semasa Pesta Buku 2010 pada Mac yang lalu. Alhamdulillah buku ini telah selesai aku baca. Namun untuk mengingati dan mengikuti semua syariat di dalamnya belum lagi. Yang Wajib dilaksanakan InsyAllah....Semoga kami semua sentiasa dibawah lindunganNya untuk melaksanakan kewajipan sebagai hambanya. Walaubagaimanapun aku ingin berkongsi dan memberi kredit kepada penulisnya iaitu Ustaz Ismail Hj. Kamus dan sahabat serta penerbitnya Telaga Biru. Aku membeli buku ini dengan harga RM49 semasa Pesta Buku. Rasanya harga pasaran adalah RM55. Tetapi harga ilmu yang diperolehi pastinya lebih bernilai dari wang ringgit yang telah dikeluarkan. Terima kasih kepada penulis serta mereka yang terlibat secara langsung dalam penerbitan buku ini . Semoga mendapat ganjaran dari Allah di atas perkongsian yang menarik ini. Buku ini harus menjadi koleksi rujukan setiap rumah.

Sedikit Ulasan buku ini....

Ia mengandungi panduan untuk diri sendiri (fardu ain), seisi keluarga dan seluruh masyarakat (fardu kifayah), merangkumi syariat ketika kelahiran, fardu ain kanak-kanak, pendidikan remaja, muamalat, munakahat serta amalan-amalan zikir, doa dan adab.

Teknik penyampaian buku ini sangat menarik perhatian aku. Ia tidak membosankan, ringkas dan padat disokong dengan carta, jadual dan rajah serta gambar berwarna penuh yang memberi lebih kefahaman dan penghayatan terhadap apa yang hendak disampaikan. Semua doa, bacaan dan zikir boleh dibaca dan dihafal dengan mudah kerana disertakan makna yang akan memberi lebih penghayatan kepada kita apabila membacanya. Langkah amalan disampaikan mengikut turutan langkah demi langkah.

Mungkin selepas ini untuk aku akan jadikan buku ini sebagai hadiah untuk pasangan pengantin yang bakal aku hadiri majlisnya.......InsyaAllah






Hujung Minggu yang sibuk.........

Bila anak tak sihat banyak program perlu diadjust semula. Entahlah anak aku yang kecil ini penyakitnya berulang. Kalau dia start selsema aku mula susah hati sebab selalunya bila selsema batuk dan demam juga akan mengiringinya.Umur baru 7 bulan dah dua kali masuk wad. dah 6 kali buat fisio. Kembang hidung anak aku lama-lama kalau berterusan macam ni.

Demam berterusan

Kali ni dia mula demam sejak kami balik dari Tampin. Start dari Ahad tu demamnya berulang. Makan ubat baik lepas tu demam balik. Bila dah masuk 3 hari demam kami ke klinik. Dr. cakap tak ada apa. Tapi kalau dalam 3 hari berterusan juga kami diminta untuk ke klinik semula. Balik dari klinik macam kurang sikit, kalau sebelum tu malamnya pukul 2 -3 pagi aku bangun bagi ubat tapi kali ni dah tak perlu. Pagi nak pergi kerja pun dia ok sahaja. Tapi tiba-tiba hari Jumaat aku nak pergi kerja panas sangat badannya sampai 39 darjah. Sudahnya aku sms bos mohon izin untuk masuk ofis lambat atau EL, bergantung kepada keadaan demam wajdi. Ikutkan hati aku nak aja cuti, tapi aku sepatutnya handle perbincangan pagi tu jam 9.00. Petang ada meeting di JPA. Memang tak seronok nak menyusahkan orang lain. Tapi apakan daya, aku terpaksa. Alhamdulillah kawan-kawan yang ada semuanya baik-baik belaka, hampir jam 11 juga aku masuk ofis setelah dipastikan wajdi tak panas lagi badannya. Alhamdulillah, Alllah memudahkan urusan aku, dapat juga aku ke JPA petang tu.

Bowling Jabatan

Hari Sabtu ada Bowling Jabatan, aku bukannya pandai main pun, saja suka-suka ajak hubby join sekali, dia pun 2 x 5 juga cuma beter dari aku. Anak-anak semua dikerah bangun awal untuk ke Mines. Pendaftaran 9.00 pagi, tetapi biasala kami jam 9 baru bertolak dari rumah. Apa pun kami tidaklah terlalu lewat, just in time before Ketua Pengarah sampai.

Sakit juga tangan aku, lagi bertambah sakit bila tengok bola masuk longkang. Kumpulan ditentukan berdasarkan undi. Kasihan si Wan yang termasuk dalam group aku, hubby dan k.hawa. Kami semua tak pandai main. Agaknya dia pun tempias dengan corak balingan kami bertiga yang asyik masuk longkang, sudahnya kami dapat hadiah, kategori bobby berkumpulan....untuk kumpulan kedua tercorot......cukup untuk wafi dan hani tak berebut

"Mama menang ke....dapat hadiah" tanya Wafi

"a'ah hadiah untuk orang tak pandai main"confius Wafi dengan jawapan aku....terus tak tertanya lagi....agaknya dia pun tak kisah....janji dapat hadiah....


Game tamat dah tengahari., kami terus bergegas ke restoran kegemaran Larizz di Sungai Merab untuk makan tengahari. Selepas makan kami singgah di Alamanda untuk membeli barang-barang keperluan memandangkan banyak barang yang sudah kehabisan stok. Tiada window shoping, anak-anak telah dimaklumkan awal bahawa hanya barang dalam list mama sahaja yang akan dimasukkan dalam trolley. Siap beli barang masing-masing sudah keletihan, kami terus bergegas ke rumah untuk berehat sebentar sebelum meneruskan agenda malam.

Kenduri dan pertemuan ahli Baitul Arash

Wajdi tidak menunjukkan tanda-tanda demam, tapi selsema dan batuknya masih ada. Setelah semua cukup rehat, seperti yang dijanjikan selepas asar kami terus bergerak ke Gombak untuk kenduri sempena pertunangan anak Pak Anjang dan Mak Anjang sekaligus pertemuan Ahli Baitul Arash. Majlis diadakan di Taska K. Siti memandangkan ruang di Taska lebih luas. Kami sampai sebaik azan berkumandang menandakan masuknya waktu maghrib merangkap tetamu pertama yang sampai ke Taska. Hujan renyai-renyai ketika kami sampai..

Selepas maghrib semakin ramai ahli keluarga yang sampai. Macam biasa wajdi akan mendapat ramai nanny, dari satu tangan ke satu tangan. Cuma aku risau demamnya akan kembali.
Wafi dan Hani sibuk bermain dengan Anis dan sepupu-sepupu Anis yang lain.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil, juga diraikan ulangtahun perkahwinan Pak Anjang dan Mak Anjang. Kemudian mesyuarat Ahli Baitul Arash dimulakan. 3 Tabung dilancarkan pada malam itu.....antaranya tabung nak yatim untuk membantu anak-anak yatim dalam keluarga Baitul Arash sempena Ramadhan dan Syawal yang bakal menjelang.

Memandangkan kami ni ada saja di mana-mana program keluarga ini, Abang Ghani selaku YDP baitul Arash mencadangkan agar kami dijemput untuk menjadi ahli keluarga Baitul Arash secara rasmi. Semua ahli keluarga bersetuju dan mengalu-alukan penyertaan kami. Rasa terharu juga dengan jemputan dan sambutan keluarga ini, memandangkan ahli keluarga jauh di utara sana, keluarga inilah yang membuatkan rindu kami pada ahli keluarga dan kampung terubat. Walaupun belum semua ahli keluarga ini kami kenali tapi perjumpaan-perjumpaan yang berlaku ketika kami kerumah Abang ghani dan K.Siti membuatkan kami semakin hari mengenali semakin ramai ahli keluarga ini. Kemesraan yang ditunjukkan membuatkam kami terasa seperti sebahagian daripada mereka. '

Selesai mesyuarat acara makan-makan. Menu yang menarik dan pastinya sedap, tambah pula hujan makin berselera kami semua makan., kambing dan ayam bakar, bihun goreng, tembikai, coslow, kuih-muih, nasi dan yang paling aku suka semestinya sos lada hitam k.siti yang memang tiada tandingannnya pada aku, hotel 5 bintang pun kalah.

Wajdi dah tertidur, badannya dah dedar-dedar, akhirnya jam 11 malam semasa sesi tayangan video masa family day di Melaka bermula kami pun mengambil keputusan untuk berangkat balik. Anak-anak dah tertidur semasa dalam perjalanan. Di pertengahan jalan kami bertukar driver memandangkan hubby dah tak tahan mengantuk. Aku mengambil peranan sebagai pemandu..Sampai di rumah terus bagi ubat demam pada Wajdi...

Ya Allah...Engkaulah yang memberikan segalanya kepada kami....Maka engkau sembuhkanlah kembali anak aku. Kurniakanlah kesihatan yang berpanjangan kepadanya...

Berulang Alik ke Hospital

Malam itu tidur Wajdi terganggu. Dengan batuk, selsema, muntah. Ya Allah, kasihannya anak aku. Badannya pun panas. Paginya kami mengambil keputusan untuk ke Azzahrah. Mengikut patern pernafasannya aku pasti anak aku akan dimasukkan ke "asrama" lagi. Ya Allah aku mohon kepadamu permudahkanlah urusan kami.....

Jangkaan kami tepat. Dr. Nik menyarankan agar Wajdi ditahan di hospital. Setelah berbincang alternatif yang ada jika tidak dimasukkan ke Wad, kami bersetuju untuk berulang alik ke hospital setiap 6 jam. Itu lebih baik daripada terpaksa berumah di hospital.Bermulalah episod kami berulang alik dari Putrajaya ke Bangi setiap 6 jam untuk 2 hari setengah. Si abang dan kakaknya pun terpaksa mengikut tatkala tengahmalam kami ke hospital. Baru je 2 minggu Wajdi keluar dari azzahrah, nurse kat azzahrah pun dah kenal si wajdi ni sebab banyak kali sangat berulang alik ke sana.

Alhamdulillah setelah 2 hari aku dan suami bercuti dan berulang alik dari rumah ke azzahrah wajdi kembali sihat. Semoga kesihatannya akan berkekalan. Semoga kami juga sentiasa dikurniakan kekuatan dan kebijaksanaan dalam menyusun segala urusan kami. Urusan dunia dan akhirat. Semoga apa yang ditentukan Allah untuk kami akan lebih mendekatkan kami kepadaNya. Amin

Balik Kampung?.....Kampung datang?

Rancangan untuk balik kampung tertangguh-tangguh sejak cuti sekolah bermula sampai la hari ni. Lepas satu minggu anjak lagi satu minggu sampai dah masuk Julai pun. Akhirnya bukan kami yang balik kampung, mak dan ayah yang nak datang. Katanya nak pergi ke Tampin berkenalan dengan bakal menantu. Adik aku dah dapat kot petunjuk yang dicari.



Plannya esok petang mereka akan bertolak dari kampung. Agaknya menjelang tengahmalan sampai la. Paginya kami akan bertolak ke Tampin sama-sama. Mak dan ayah akan datang berempat bersama adik (Balah) dan isterinya Anis. Anis tengah early pragnent tu. Adik aku ni kadang-kadang aku pun tak faham. Masa isterinya mengandung kali pertama dulu pun macam tu. Orang tu tengah pening-pening pun diajaknya juga jalan jauh. Dah la jalan jauh, tak sempat rehat pastu dah nak balik. Tapi tu la orang tua kalau ke mana-mana bukannya nak duduk lama. Kalau datang rumah 3 hari tu kira lama la. kalau lebih dari tu memang demam agaknya.



Bila bagi tahu anak-anak bukan main suka lagi tok dengan wannya nak datang.

"yeye...tok dengan wan nak datang" wafi dan hani sibuk menyanyi seronok.

Itulah anak-anak aku, kalau cakap nak balik kampung bukan main excited. Cakap sapa-sapa nak datang dari kampung pun sama juga excitednya. Tapi si kecik tu agaknya Tok dengan Wan la yang excited nak jumpa. Dah lama tak tengok cucu. Asyik MMS gambar jer, nasib baik ada juga teknologi canggih untuk tok dengan wan melepaskan rindu. Dari pada terlentang jer kat tilam sampai dah nak boleh berdiri tok dengan wan tak jumpa. Plan nak hantar balik kampung sebab outstation hari tu pun tak jadi.

Aku pun rindu juga nak balik kampung, tapi apakan daya ada sahaja perkara mendatang yang menghalang kami untuk balik ke kampung. Apa pun tak sabarnya nak tunggu mak dan ayah sampai. Itulah, kalau tak balik kampung pun, kalau mak ayah ada terasa macam berada di kampung. seolah-olah macam kampung yang datang.....