.............الحمدلله

2 hari 2 malam aku berkampung di hospital, Wajdi dimasukkan ke wad lagi sekali. Kesian pula melihatkan keadaannya. Belum pun setahun dah dua kali dimasukkan ke wad. Paling aku tak sanggup nak tengok masa buat fisio untuk buang kahak, melalak-lalak dia, sambil matanya memandang aku seolah-olah minta tolong. "sabarlah sayang, mama buat semua ni supaya anak mama cepat baik" Itu la saja yang mampu aku ungkapkan dalam hati....

Semua anak-anak aku mengalami masalah yang sama ketika kecil, cuma wajdi lebih teruk masalahnya, menurut Dr. baby yang mempunyai keturunan asma memang mudah dijangkiti. kerap berulang. Petandanya samabermula dengan selesema, kemudian dikuti dengan batuk, lepas tu akan demam, kemudian akan berlarutan sehingga nafasnya terganggu.

Selasa hari tu aku bawa Wajdi berjumpa paediatrician setelah batuk, selesema dan demamnya berlarutan 4 hari walaupun setelah makan ubat. Lagipun malam itu Wajdi tidak dapat tidur dan menyusu dengan selesa. Masuk je jumpa Dr. satu je statementnya...

"Ni dah tak payah pakai stetoskop ni...memang kena masuk asrama"

Letih aku mendengarnya., dah terbayang di mata anak aku mesti kena buat fisio, ambil nab setiap 4 jam. Kesiannya si kecik ni.

Habis semua plan kami nak balik kampung.....nak celebrate birthday ayah dengan wafi. Ayah 17 Jun dan Wafi 18 Jun....Happy Birthday Ayah! Happy Birthday Wafi!

Dr. pun minta kami tangguhkan dahulu perjalanan jauh. Kesian juga dengan Wafi, minggu lepas dah tangguh, abahnya tak dapat cuti, minggu ni tangguh lagi adiknya sakit pula, sudahnya cuti sekolah pun habis. Apa nak buat sayang, manusia hanya merancang, Allah yang menentukan segalanya.

Apa pun Alhamdulillah Wajdi dah sihat, aku bekerja macam biasa sebab dah bercuti 2 hari menjaga Wafi di hospital, semalam pun walaupun bekerja aku macam tak kerja sebab tengahari lama juga aku keluar uruskan Wajdi nak keluar hospital, hubby cuti menjaga Wafi semalam.

Hari ini Birthday Wafi. Belum tahu lagi apa nak buat. Hadiah birthday dia minta aircond. Hadiah lain yang diminta mikroskop dan teleskop. Dahsyat betul permintaan anak-anak zaman sekarang. Aircond dia minta sebab aku cakap bila dia genap 7 tahun dia kena tidur bilik sendiri. Katanya dia tak nak tidur bilik dia kalau tak ada aircond. So dia cadangkan hadiah aircond kalau nak dia tidur bilik sendiri. Wafi...Wafi....

CITA-CITA DAN IMPIAN

Putera sulong aku dah besar rupanya……macam-macam impian dan cita-citanya…..sering berubah mengikut persekitaran……..

Cita-cita pertama……

“Mama…..bila wafi dah besar wafi nak jadi pemotong kayu” simplenya la cita-cita anak aku…..

“Kenapa nak jadi pemotong kayu”

“Sebab pemotong kayu boleh buat apa sahaja, boleh buat almari, kerusi. meja, macam-macam lagi dia boleh buat.

“Habis tu bila dah siap wafi nak buat apa dengan semua tu”

“Wafi bagi la kat sapa-sapa yang tak de semua tu” pemurahnya anak aku

Aku agak idea ni timbul bila dia baca buku cerita pasal pemotong kayu

Satu hari pergi kedai perabot, tak berganjak tengok orang dok ganti kusyen kerusi makan…..bila aku ajak pusing-pusing dalam kedai tu tak nak

“Nanti la mama, wafi kan nak buat kerusi nanti bila dah besar, wafi nak tengok la dia buat sampai siap”


Cita-cita kedua….

Satu hari balik dari gunting rambut….

“Mama…..wafi tak nak la jadi pemotong kayu, wafi nak jadi penggunting rambut”

“Kenapa?”

“Sebab nanti wafi boleh gunting rambut siapa-siapa, abah pun tak payah pergi kedai gunting rambut lagi, wafi pun boleh gunting”

“Hani pun” adiknya menyampuk

“A’ah, semua orang tak payah pegi kedai lagi, wafi buat untuk semua orang”

Cita-cita ketiga…..

Balik dari tengok show house

“Mama…cantik tak kalau rumah kita macam ni” sambil menunjukkan lukisan keadaan dalam rumah

“Cantik”

“Kalau orang suka lukis macam ni bila besar dia boleh jadi apa mama”

“Kenapa? Wafi kan nak jadi penggunting rambut”

“Tak nak la, wafi kan suka lukis, penggunting rambut tak payah lukis”

“Kalau wafi suka lukis macam ni wafi boleh jadi arkitek, arkitek design rumah dan apa-apa bangunan”

“Ok la kalau macam tu, Wafi nak jadi arkitek la”

“Boleh, wafi boleh jadi apa sahaja yang Wafi nak, tapi kena belajar betul-betul”

Cita-cita keempat

Nampak orang senggara taman….

“Mama, arkitek buat taman-taman tak?"

"Tak arkitek design bangunan sahaja, taman-taman landscape designer yang buat”

“OOO, jadi lepas arkitek buat rumah, landscape designer buat taman kat luar rumah bagi cantik? Kat dalam rumah pun dia buat bagi cantik”

“Bukan, arkitek design rumah je, bila rumah dah siap interior designer pula buat kat dalam rumah bagi cantik, dah cantik kat dalam landscape designer pula bagi kat luar rumah cantik”

“oooo, kalau wafi nak bagi rumah kita cantik, wafi kena jadi semua tu la, wafi nak jadi semua tu la bila wafi dah besar”

“Banyaknya wafi nak jadi, larat ke wafi nak belajar banyak-banyak”

“Iyer la nanti wafi belajar la banyak-banyak”

Cita-cita kelima....

“Mama, Qari tu apa?

“Qari tu orang yang baca Al-quran, yang wafi tengok baca quran sedap-sedap kat dalam TV tu qari la”

“ooo, bila wafi dah besar wafi baca iqra’ mama Wafi jadi Qari la, Hani pun boleh ker?”

“Boleh, tapi kalau perempuan kita panggil Qariah, Kalau Wafi nak lagi baik Wafi boleh jadi Qari dengan Hafiz sekali”

“Hafiz tu apa?”

“Hafiz tu orang yang baca Quran tak tengok, sebab dia dah ingat, macam Pak njang”

“Pak njang Hafiz ke mama?”

“a’ah Pak njang hafiz la sebab boleh baca Iqra’ mama tak tengok”

terror tu pak njang, Kalau macam tu wafi nak jadi hafiz juga la, tapi mama kena la ajar wafi baca iqra Wafi bagi cepat habis, lepas tu boleh wafi baca iqra’ mama pula”

“Ok, Wafi pun kena la rajin, jangan tunggu mama suruh je baru nak baca, asyik tengok TV je ingat, Iqra’ memanjang kena suruh”

“iyer la, wafi tengok TV sikit-sikit jer”

“Kalau mama hantar wafi kelas tahfiz nak, dia ajar macam mana nak jadi hafiz, lepas kelas karate-do Wafi pegi kelas tahfiz, nanti mama survey, ke wafi penat kalau pegi banyak-banyak kelas?”

“tak per, wafi boleh, wafi kan nak jadik hafiz”

Cita-cita terakhir setakat ini…

Macam biasa aktiviti mereka main-main kat depan TV...entah apa rancangan TV aku pun tak perasan…tapi ada orang menyanyi…. Masing-masing aku dah suapkan nasi dulu memandangkan abahnya balik lambat.

Bila semua dah kenyang giliran aku pula makan nasi…….

Tiba-tiba……

“Mama… Wafi nak jadi artist la pula” Tersedak aku dibuatnya….elok-elok minggu lepas nak jadi hafiz minggu ni nak jadi artis pula.

“Kenapa pula nak jadi artis, kata nak jadi hafiz” Aku cuba mendapatkan penjelasan dan kepastian….

“Iyer la Wafi kan suka melukis, jadi Wafi nak jadi artist la”

Ya Allah berbezanya pemikiran aku dan anak aku

Itu la persekitaran mempengaruhi pemikiran kita.

Banyak yang aku belajar dengan anak-anak

Memupuk Cita-cita Anak-anak

Dalam memupuk cita-cita mereka banyak perkara yang perlu aku lakukan sebagai ibu. Yang penting aku perlu memberi sokongan kepada anak-anak untuk apa sahaja cita-citanya. Walau Perdana Menteri sekalipun aku perlu mendokong cita-citanya, tapi jangan sampai cita-citanya nak jadi perompak sebab terikut pengaruh TV. Aku juga perlu belajar menerima perubahan kepada cita-cita anak aku dan terus memberi galakan walaupun perubahannya dalam waktu yang singkat. Galakan aku juga perlu membuka ruang untuk mereka berfikir tentang apa yang mereka nak jadi.

Daripada sikap dan cara anak-anak, aku sedar banyak lagi peluang dan kesempatan yang belum aku beri kepada mereka, Aku perlu memperkenalkan dunia yang lebih luas kepada mereka, persekitaran yang lebih baik untuk perkembangan minda mereka. Jauh perjalanan luas pengalaman bertambah pengetahuan.

Antara minat anak aku bila berjalan adalah masuk ke kedai buku yang dipanggilnya library, bila masuk lama pula dia membelek buku, Cuma aku sering tidak berkesempatan untuk membaca bersama mereka. Aku rasa aktiviti pembacaan dan buku yang dibaca juga akan mempengaruhi minat mereka.

Satu lagi kekurangan aku adalah pengetahuan aku mengenai tokoh-tokoh dalam kebanyakan bidang yang boleh membantu aku dalam memupuk cita-cita mereka, terutama melihat kepada kepayahan dan kesungguhan tokoh-tokoh ini dalam memenuhi impian dan matlamat mereka.

Cuma yang aku agak risau adalah aku terikut-ikut untuk memaksa anak aku bercita-cita tinggi yang mengutamakan kebendaan. Walaupun kekayaan itu penting aku masih tercari-cari pendekatan untuk membuat perkaitan dengan soal kewangan tetapi ia bukanlah keutamaan.

"Ya Allah, Bantula kami dalam memenuhi cita-cita anak kami, berikanlah petunjuk dan hidayahmu kepada anak-anak kami dalam memenuhi impian dan cita-cita mereka. Permudahkanlah perjalanan mereka...Amin"

CUTI SEKOLAH........

Cuti Sekolah dah bermula. Wafi dah sibuk bertanya program cuti sekolah. Kalau ikutkan dia suruh hantar balik kampong, dia nak duduk kampong lama-lama. Biasalah, kalau kat kampong dia boleh manja-manja dengan tok dan tok wan. Apa yang dia nak InsyaAllah dapat. Sebab itulah dia suka. Tapi bagi kami pula sebab itulah yang kami tak nak bagi dia duduk kampong lama-lama. Nanti dia naik lemak.

Percutian ke Melaka…… Hujung Minggu Pertama Cuti Sekolah….Himpunan Keluarga Baitu Arash…

Penat masih terasa, tapi Alhamdulillah semuanya menyeronokkan. Anak-anak suka, ibu bapa gembira. Dua hari dua malam kami berkampung di Everly Hotel, Melaka untuk program Himpunan Keluarga Baitul Arash 2010. Arash itu adalah gabungan nama Alahyarham Pn Alia dan En. Rashid. Keluarga ini mempunya 12 orang adik beradik, tetapi tahun ini hanya 6 family yang dapat hadir. Masing-masing ada program lain di sebelah keluarga pasangan masing-masing. Jumlah yang hadir 130 orang, agaknya kalau semua hadir tak tahu la aku berapa jumlahnya, dan bagaimana havocnya himpunan ini. Ini kali pertama kami menyertai himpunan mereka. Himpunan tahun lepas kami tak dapat menyertainya kerana ada komitmen lain.

Aku bukanlah anak mereka pasangan Alahyarham Pn. Alia dan En. Rashid. Aku pun hanya sempat mengenali Pn. Alia yang aku panggil Wan. Tapi anak aku menumpang kasih salah seorang anak menantu dan cucu pasangan ini sewaktu aku bekerja iaitu K. Siti dan A. Ghani. Sehinggalah anak aku menjadi sebahagian dari keluarga mereka. Panggilan untuk mereka berdua adalah Ayah dan Ibu. Anak sulong aku anak susuan mereka, dan mereka juga dah jadi sebahagian dari keluarga aku. Memandangkan semua ahli keluarga aku dan suami berada di Utara maka mereka juga menjadi tempat kami menumpang kasih di sini. Paling kurang sekali dalam sebulan kami mesti menziarahi mereka walaupun jarak kami semakin jauh. Setiap kali pergi mesti seharian kami berehat disana, kadang-kadang dari makan tengahari sampai ke minum petang masuk ke makan malam. Bila dah tak pergi mesti rindukan masakan K. Siti, yummy. Apa saja yang k.siti masak mesti sedap. Aku rasa sebab kebaikan dan keikhlasan dia menjadikan masakannya bertambah-tambah sedap.

Hari Jumaat aku dan suami cuti sebab rancangan asal untuk bertolak ke Melaka selepas Jumaat Tetapi tiba-tiba anak bongsu K. Siti ada exam sekolah agama, jadi malam la baru dapat bertolak. Agaknya sebab cuti sekolah dah bermula, jalan memang sesak, dah dekat jam 12 tgh malam baru kami sampai, terlepas kami satu program, .iaitu bacaan Yasin dan tahlil.

Hari kedua ada telematch, semuanya diuruskan oleh pihak hotel, jadi dapatlah semua ahli keluarga enjoy the game, kumpulan disusun bercampur-campur, tidak mengikut keluarga, mungkin ada rasionalnya dibuat begitu. Kamera aku rosak pula, jadi tak dapat nak ambil gambar. Macam-macam gelagat aku tengok, tapi yang aku kagum adalah melihat kemesraan yang terjalin antara saudara yang ada, seronok melihat ragam anak-anak, dan yang aku seronok adalah melihat anak-anak aku enjoy dengan program tersebut.

Dah penat bermain, masing-masing terjun kolam, Aku hanya melayan anak-anak, Plan petangnya nak pergi jalan-jalan sekitar Melaka tak kesampaian. Masing-masing kepenatan dan tertidur, dah asar baru tersedar. Memandangkan kasut wafi belum beli untuk diner malam tu hubby pun bawa wafi sahaja pergi mencari kasut sebab si kecil dan kakaknya masih tidur. Bila ingat balik macam kelakar pula, beria juga kami untuk diner tu, tapi beria untuk anak-anak sahaja. Mama dan abah pakai sahaja apa yang ada. Tema diner malam itu adalah glam n elegance, entahla sapa punya idea, tapi aku dapat membayangkan dressing masing-masing. Cuma YDP risau juga kalau masing-masing pakai bukan-bukan.

Majlis diner pada malamnya berjalan seperti yang dirancangkan. AJK yang dilantik menjalankan tuga s dengan baik. Generasi muda keluarga ini boleh dikatakan kreatif dalam menganjurkan program. Masing-masing bergaya sakan. Rasanya aku dan suamilah yang paling simple. Pakai seadanya, yang penting mengikut syariat. Kamera pun elok pula sebelah malamnya. Dapat snap gambar sekeping dua.

Apapun aku belajar sesuatu dari program keluarga ini…….. kerjasama….pengorbanan….kasih sayang…..prihatin……bantu-membantu…..hormat menghormati……dan banyak nilai baik yang boleh dikutip.

Ya Allah….sejahterakan keluarga ini….kekalkan hubungan baik antara mereka……semoga aspirasi keluarga ini tercapai……Amin…


Anak-anak dah bersiap sedia

Bersama K.Siti dan Abang Ghani (YDP Baitul Arash)

Sebelum majlis bermula


Ragam anak-anak dengan pakaian beragam

Wafi mendapat tempat ke-dua



Pengisian Hujung Minggu Kedua……Balik Kampung….

Masa kat Melaka mak mentua telefon….

“Hangpa tak balik ka cuti sekolah ni? Ada kenduri kat rumah besan mak, kalau balik boleh la kita pi sekali, mak tanya ja bukan suruh hangpa balik, kalau tak balik pun tak pa”

Semalam ayah pula telefon…..

“Durian dah nak habih, kalau hangpa balik minggu ni dan la makan, tapi kat rumah tok baru dok luruh, minggu lagi satu pun dan kot”

Aku faham hati orang tua, kenduri dan musim durian itu hanyalah sekadar alasan, yang utamanya dia nak anak menantu dan cucu dia balik. Rasa bersalah juga pergi ke Melaka dulu.

Mak, Ayah, Baba…..tunggulah……kami semua akan balik minggu ini…..InsyaAllah. Doakan kami dapat menyelesaikan segala urusan dengan baik. Doakan kami dapat balik dengan Selamat…..Amin.