Rindu Terubat.........

Setelah tertangguh beberapa kali, akhirnya dapat juga kami semua balik kampung. Walaupun macam-macam yang berlaku, dengan anak demam, tayar pancit dalam perjalanan, hujan sepanjang jalan, R n R sesak macam cuti raya, tapi Alhamdulillah kami selamat sampai. Kami telah memutuskan untuk meneruskan niat walau apapun yang berlaku memandangkan telah beberapa kali menghampakan orang tua.

Aku ingat lagi ayat mak dalam telefon pada hari Khamis semasa kami sedang menikmati sarapan pagi dalam perjalanan ke UTM atas urusan rasmi. Rasa macam bersalah pula sebab asyik tangguhkan niat balik kampung.

" Assalamualaikum, mak ni, sibuk ka? Mak saja ja nak tanya, dengaq kata hangpa nak balik kampung, jadi ka?" mak memulakan bicara.

"InsyaAllah mak, plannya macam tu la"

"Alhamdulillah, takpa la mak nak tanya tu ja"

Mengingatkan perkataan Alhamdulillah dari mulut mak dengan nada yang tak dapat aku nak bayangkan betapa seronok dab puasnya dia dengan pengakuan aku menyebabkan aku rasa bersalah sangat. Rindu sangat mak dengan anak menantunya, cucu-cucunya mungkin.

Mak! Maafkan kami.

Balik dari JB aku dapati demam si Hani agak kuat. Dengan gatal-gatal lagi. Hubby pun baru sampai. Jam dah dekat 10.00 mlm. Alhamdulillah Timah cuti, kalau tidak kesian budak-budak kat nursery sampai malam. Timah pun sebenarnya nak balik dah pagi tu memandangkan esoknya dia mula bekerja semula, tapi aku minta dia tolong tunggu budak-budak dulu. Lagipun esoknya dia shift petang. Masih ada masa kalau bertolak pagi Jumaat tu. Terima Kasih adikku atas bantuanmu.

Lepas makan kami terus bergegas ke Klinik. Timah pun tak nak tunggu dah, ada hal katanya. Dia bertolak balik serentak dengan kami. Alhamdulillah di klinik tak perlu tunggu, sebab dah tak ada orang. Iya la, klinik pun dah nak tutup. Si Hani ni ada alahan. Tapi aku pun tak pasti dia alah kepada apa, tetapi kulitnya selalu gatal-gatal, tapak kaki dan tapak tangan pun bengkak dan nampak macam pecah darah. Waktu alahannya datang kesian pula aku tengok, asyik tergaru-garu, habis melecet badan dia. Paling kesian kalau naik kat muka.

Kami telah pun membawanya berjumpa paedratician tapi mengikut keputusan ujian darah dan air kencingnya tiada sebarang masalah. Cuma anak aku dikatakan kurang Vitamin. Memang aku akui Si Hani ni susah makan. Selalunya memang nak nasi kosong je. Tak nak lauk. Sayur jauh sekali. Aku pun dah mati akal nak pujuk dia makan.

Aktiviti di Kampung

Anak-anak telah dimaklumkan jadual di kampung. Bermalam di rumah Wan Husin semalam,, kemudian di rumah Wan Isa semalam. Itu la untungnya berkahwin dengan orang sekampung. Kami tak perlu memikirkan sangat. Kami boleh berulang alik lebih sepuluh kali pun antara kedua-dua rumah. Dulu masa tak ada anak itu la kerjanya. sekejap sana, sekejap sini, tapi bila ahli dah makin ramai aktiviti tu tak ada lagi. Banyak sangat barang nak di angkut.

Balik kampung kali ini sunyi saja rasanya. Sebab tak ada sapa yang balik. Baik rumah baba mahu pun rumah ayah. Agaknya itu la yang orang tua suka sangat kalau anak cucu balik. Ceria sikit rumah dengan riuh rendah cucu.

Memandangkan percutian yang singkat, masa yang terhad, aku hanya menghabiskan masa di rumah berborak dengan mak dan mak-mak saudara yang berdekatan. Hubby seperti biasa menemani Baba pergi kebun, pergi pekan beli barang keperluan terutama barang dapur untuk orang tua. Kat rumah baba anak-anak sibuk main-main dengan sepupu. Kat rumah ayah pula merata rumah diaorang masuk. Ibu / bapa saudara ramai yang melayan, begitu juga tok dan tokwan saudara. Sekala sekala cucu balik mesti la dapat perhatian.

Kesempatan yang ada juga kami ambil untuk ke Pasar membeli barang-barang keperluan yang memang biasa diimport dari Baling. Balik kampung sekejap sememangnya memenatkan. Sampai ke kampung tak terasa penatnya sebab kita memang teruja untuk balik kampung. Tapi nak balik semula ke rumah memang sesuatu yang amat memenatkan. Nak pula esok kerja. MasyaAllah Tuhan je yang tahu betapa bercintanya nak bersiap. Apa pun aku besyukur sekurang-kurangnya dapat bertemu orang tua, walaupun sekejap tetap berbaloi.

Apapun rindu orang tua terubat juga........Semoga kedua orang tua dan mertua dipanjangkan usia dan dikurniakan kesihatan yang berpanjangan. Semoga kami anak-anak menantu mereka dapat menabur bakti sepanjang hayat mereka. Amin.

Ayah dengan anak-anak
(susah sungguh nak ambil gambar mak)


Baba dan Mak - ibu bapa mertuaku

No comments:

Post a Comment